Monday 16 January 2012

Percutian Ke Batu Feringghi Pulau Pinang

Pulau Pinang adalah salah satu destinasi yang menarik di Malaysia yang sering saya dan keluarga kunjungi. Kami menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi percutian kami kerana kebetulan ia agak hampir dengan kampung halaman saya iaitu di Perak. Biasanya bila kami pulang ke kampung dan berasa ingin bercuti dan berehat, kami pasti akan ke sana. 



            Kawasan yang sering menjadi tumpuan kami ialah di Tanjung Bungah atau Batu Feringghi. Kali ini saya ingin menceritakan serba sedikit pengalaman kami semasa bercuti di Batu Feringghi dan menginap di Hotel Holiday Inn Pulau Pinang. Kami pergi ke sana pada Jun 2010. Kami telah menempah bilik "Kid's Suite" di hotel tersebut kerana kami telah pun mencari bilik yang sesuai di internet untuk keluarga kami seramai 4 orang  iaitu kami suami isteri dan dua orang anak kami yang masih kecil iaitu berumur 8 dan 3 tahun. kebetulan Hotel Holiday Inn Pulau Pinang ada menyediakan "Kid's Suite", iaitu bilik yang mempunyai 4 katil dan ada penghadang di antara ruang tidur utama dan ruang tidur kanak-kanak. Jadi kami berasa agak selesa dengan adanya sedikit privasi untuk kami dan juga untuk anak-anak kami. Bilik tersebut juga menyediakan dua buah televisyen, satu untuk ruang tidur kami dan satu lagi untuk ruang kanak-kanak, dan di ruang kanak-kanak tersebut di sediakan "play station 2" untuk keselesaan mereka.Pihak hotel juga bijak menghiasi ruang kanak-kanak dengan gambar-gambar kartun supaya kanak-kanak berasa seronok tinggal di ruang tersebut. Bilik air di bilik tersebut juga besar dan selesa. 




            Selain dari keadaan bilik yang memuaskan, Hotel Holiday Inn juga terletak berhadapan dengan pantai, cuma bilik kami terletak di "Tower Building", jadi kami perlu menyeberangi jejambat yang di sediakan pihak hotel untuk ke kolam renang dan pantai. Tetapi bagi kami ianya tidak sukar kerana adanya jejambat yang berbumbung menjadikannya agak mudah dan jaraknya tidak berapa jauh. Anak-anak kami sangat seronok melihat keadaan pantai dan laut di situ, dan banyak juga aktiviti sukan air yang disediakan di pinggiran pantai hotel, seperti "para sailing", "horse riding", "motor boat" dan lain-lain. Pihak Hotel juga menyediakan banyak kerusi baring yang mengadap pantai untuk para penginap duduk berehat di hadapan pantai tersebut. 

            Pada waktu malam pula terutamanya pada malam minggu, Batu Ferringhi memang terkenal dengan gerai-gerai yang menjual cenderemata dan bermacam-macam barang di sekitar tepi jalan raya berhadapan dengan hotel-hotel di sana. Jadi agak mudah untuk membeli-belah sambil menjamu mata melihat barangan yang dijual. Tempat makan juga banyak disediakan di kawasan berdekatan dengan hanya berjalan kaki. Jadi kami dapat menjamu selera dan membeli belah juga.

            Secara keseluruhannya, untuk persinggahan hujung minggu atau percutian yang menarik dan merehatkan minda untuk seisi keluarga, Hotel Holiday Inn di Pulau Pinang ini adalah salah satu hotel yang sesuai untuk semua. 



No comments:

Post a Comment