Thursday 19 January 2012

Usah Leka Jaga Iman

APABILA iman lemah, maka mudah sekali melakukan dosa dan maksiat. Apabila maksiat meningkat, bantuan Allah untuk dipelihara daripada syaitan berkurang dan tiada.



Rasulullah sendiri sering berdoa: “Wahai Allah yang boleh membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalan agama-Mu”. Baginda juga memohon Allah memelihara hala tuju perasaannya supaya tidak menyimpang dari hala tuju yang ditentukan Allah menuju kepada yang tertinggi.

Doa baginda: “Wahai Allah yang menguruskan hati, uruskanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu”. Rasulullah juga berdoa pada siang dan malam di dalam zikirnya: “Wahai Allah, sesungguhnya saya berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran”.

Adakah kita mengetahui bahawa Umar al-Khattab yang memisahkan imannya antara yang hak dan batil, syaitan cabut lari daripada menghampirinya dan terdapat garisan hitam di wajahnya lantaran banyak menangis kerana takutkan Allah?

Adakah kita mengetahui bahawa beliau pernah mengecam dirinya kerana kekurangan iman? Maka terdedah kepada dosa yang lebih besar.

Kali ini penulis ingin mengingatkan tentang tanda-tanda berkurangnya iman supaya kita lebih bersungguh menjaga iman sebagaimana nabi dan sahabat antaranya ialah:

1. Terus menerus melakukan dosa dan tidak berasa bersalah.

2. Berhati keras dan tidak berminat untuk membaca al-Quran.

3. Lambat melakukan kebaikan, seperti terlambat untuk melakukan solat.

4. Meninggalkan sunnah, sunat dan wajib

5. Memiliki suasana hati yang gelisah seperti bosan dalam kebaikan.

6. Tidak berasakan apapun ketika mendengarkan ayat al-Quran dibacakan seperti ketika Allah mengingatkan tentang hukuman dan janji-Nya   tentang khabar baik dan akibat berbuat jahat.
7. Berat dalam mengingat Allah.

8. Tidak berasa risau ketika keadaan berjalan bertentangan dengan syari’ah.

9. Terlalu bersemangat dengan kedudukan dan bimbang kehilangan jawatan.

10.Kedekut dan bakhil, tidak mahu membahagikan rezeki yang dikurniakan Allah.

11.Memerintahkan orang lain untuk berbuat kebaikan sementara dirinya sendiri tidak melakukannya.

12.Berasa senang di atas kegagalan orang lain

13.Hanya memperhatikan yang halal dan haram, dan tidak menghindari yang makruh.

14.Mempermainkan orang yang berbuat kebaikan kecil.

15.Tidak mahu memperhatikan keadaan dan musibah yang ditanggung kaum muslimin.

16.Tidak berasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu demi kemajuan Islam.

17.Tidak mampu menerima musibah yang menimpanya malah menyalahkan takdir, hanya boleh terima takdir baik sahaja.

18.Suka membantah, hanya untuk berbantah-bantahan, tanpa memiliki bukti.

19.Hanya bersemangat untuk pekerjaan duniawi sebaliknya tidak bersemangat perkara ukhrawi.

20.Berasa bangga dengan kebaikan sendiri, sombong dan bongkak dengan kedudukan, malah banyak lagi.


Beberapa cara untuk meningkatkan keimanan kita:

1.Tilawah Al-Quran dan mentadabburi maknanya, hening dan dengan suara yang lembut tidak tinggi, maka insya-Allah hati kita akan lembut. 2.Yakinkan bahawa Allah sedang berbicara dengan kita.

2.Menyedari keagungan Allah. Segala sesuatu berada dalam kekuasaannya. Banyak hal di sekitar kita yang kita lihat yang menunjukkan keagungan-Nya kepada kita.

3.Segala sesuatu terjadi sesuai dengan kehendak-Nya. Allah maha menjaga dan memperhatikan segala sesuatu, bahkan seekor semut hitam yang bersembunyi di balik batu hitam dalam kepekatan malam sekalipun.

4.Berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan setidaknya hal-hal dasar yang dilakukan dalam kehidupan seharian seperti cara solat dan berwuduk dengan betul, mengetahui erti daripada nama dan sifat-Nya. Orang yang bertakwa adalah mereka yang berilmu.

5.Menghadiri majlis zikir yang mengingat Allah. Malaikat mengelilingi majlis seperti itu.

6.Selalu menambah perbuatan baik lainnya. Allah akan memudahkan jalan bagi seseorang yang bersedekah dan memudahkan jalan bagi orang yang berbuat kebaikan. Amal kebaikan harus dilakukan secara berterusan.

7.Berasa takut kepada akhir hayat yang buruk. Mengingat kematian akan mengingatkan kita daripada terlena terhadap kesenangan dunia.

8.Mengingat tahap kehidupan akhirat, peringkat ketika kita diletakkan dalam kubur ketika kita diadili ketika kita dihadapkan pada dua kemungkinan, akan berakhir di syurga atau neraka.

9.Berdoa, menyedari bahawa kita memerlukan Allah. Berasa kecil di hadapan Allah.

10.Cinta kita kepada Allah harus kita tunjukkan dalam tindakan. Kita penuh berharap semoga Allah berkenan menerima solat kita dan senantiasa berasa takut akan melakukan kesalahan.

11.Malam hari sebelum tidur sepatutnya kita bermuhasabah memperhitungkan perbuatan kita sepanjang hari itu.

12.Menyedari akibat daripada berbuat dosa dan pelanggaran. Iman seseorang akan bertambah dengan melakukan kebaikan dan menurun dengan melakukan perbuatan buruk.

Semua yang terjadi adalah kerana Allah menghendaki hal itu terjadi. Ketika musibah menimpa kita, itupun daripada Allah.

No comments:

Post a Comment